Dalam ucapan-ucapan Presiden KEPTAN yang pernah saya hadir dan dengar,
beliau sering mengingatkan kepada pembantu tadbir samada yang baharu mahupun
yang lama agar segera menjadi ahli bagi meramaikan lagi keanggotaan kesatuan
ini agar suara pembantu tadbir dapat didengar oleh kerajaan. Saya amat bersetuju dengan beliau kerana jika
dilihat pada kata dasar kesatuan itu sendidri datangnya dari perkataan ‘Satu’. Jadi dengan satu itu akan pergi kepada kata
kerja ‘Bersatu’. Maknanya apabila
bersatu baharulah sesuatu perkara dapat diselesaikan. Dan bersatu itu haruslah memerlukan suara
yang banyak ibarat seperti lidi – sebatang lidi akan dapat dipatahkan dengan
mudah tetapi kalau segenggam lidi amat sukar dipatahkan – dan memang benarlah
seperti kata perumpamaan itu.
Saya pun sebenarnya kurang faham dengan pemikiran pembantu tadbir yang
masih belum menyertai kesatuan ini. Ada antara
mereka yang merasakan tidak penting berada dalam kesatuan kerana kesatuan tidak
memperjuangkan hak mereka. Ingin saya
terangkan bahawa dalam berorganisasi kesatuan tidak ada istilah tidak
memperjuangkan hak. Kesatuan memperjuangkan
hak semua pembantu tadbir samada perkeranian operasi, kewangan mahupun pembantu
tadbir rendah.
Cuma bukan semua perjuangan itu dapat faedahnya serentak dalam sekelip
mata. Ianya memerlukan banyak penapisan
yang perlu dilalui. Contohnya Maizatul
seorang kerani N17 hakiki yang berkhidmat 10 tahun, kerana kerajaan meluluskan
penjumudan pembantu tadbir rendah yang tidak melibat Maizatul maka Maizatul
berhenti dari menjadi ahli kerana kecewa.
Sedangkan bukan beliau seorang adalah kerani malahan ramai lagi kerani
yang sama gred dengan beliau tetapi masih menyokong kesatuan kerana bagi
mereka, kali ini bukan rezeki mereka, mungkin rezeki mereka pada hari lain.
Salah satu faktor penyebab mengapa permintaan kumpulan sokongan khususnya
pembantu tadbir lambat ditunaikan adalah kerana mereka yang berfikiran seperti
di atas. Tetapi dalam masa yang sama
apabila skim lain menerima faedah, mereka ini akan tidak berpuas hati namun
tidak mahu menjadi ahli. Untuk menjadi
kesatuan yang utuh yang mana kerajaan sentiasa mahu mendengar permintaan,
haruslah menjadi kesatuan yang ramai ahlinya.
Cuba kita bandingkan sekejap dengan kesatuan yang kuat seperti kesatuan
guru. Mereka mempunyai ahli yang ramai
malahan yuran mereka jauh lebih tinggi dari kesatuan kita namun mereka tetap
menyokong kesatuan mereka kerana mereka berfikiran jauh demi faedah yang akan
diterima oleh mereka kelak. Tidak bolehkah
kita pembantu tadbir yang berkelulusan SPM (termasuk saya) ini cuba memandang
kehadapan sedikit dan berfikir secara minda kelas pertama sekali sekala. Kita mahukan faedah tetapi tidak mahu melabur
dan berusaha bagaimana faedah itu akan datang kepada kita.
Saya sangat setuju dengan ungkapan dari Presiden KEPTAN kepada golongan ini
yang diumpamakan seperti KUTU (mengaut keuntungan dari keringat orang lain). Tidakkah mereka ini tahu bagaimana perasaan
ahli-ahli yang berjuang dalam kesatuan ini bilamana kerajaan meluluskan
permintaan kesatuan kepada semua pembantu tadbir tidak mengira ahli atau bukan
ahli kesatuan. Tidakkah ahli-ahli yang
berjuang ini juga akan merasa sakit hati kepada KUTU ini. Namun perjuangan tetap diteruskan.
Saya rasa sudah banyak cadangan dari ahli-ahli yang memperkatakan tentang
pendaftaran ahli ini. Salah satu yang
menarik minat saya adalah pendaftaran secara automatik kepada semua pembantu
tadbir tidak kira samada baharu atau yang lama.
Saya tidak pasti samada mungkinkah cadangan ini sudah ada diperingkat
Exco Pusat atau tidak. Mungkin juga
terdapat kekangan yang perlu dilepasi sebelum perkara ini dapat dilaksanakan,
saya tidak tahu. Tetapi saya menyokong
penuh seandainya polisi ini dapat diimplimentasikan. Ini akan memberikan keadilan kepada semua
pembantu tadbir kerana faedah yang diperoleh tetap akan dirasai semua selain
dapat meningkatkan lagi suara ahli kesatuan.
Menyebut tentang pendaftaran automatik ini, pengalaman saya ketika
mula-mula masuk bekerja dalam bidang swasta, untuk gaji bulan pertama saya
terus dipotong yuran kesatuan sebanyak RM 5.00.
Begitulah bulan-bulan seterusnya.
Walhal saya tidak tahu apa itu kesatuan ketika itu dan tidak pernah
menghadiri pun mesyuarat agung. Namun untuk
tahun berikutnya, saya telah diberi penerangan oleh senior-senior maka saya menyerap
penerangan itu dan merelakan potongan tersebut kerana kesatuan akan dapat
menjadi wakil kepada suara kita untuk syarikat memberikan manfaat kepada
pekerja. Dan untuk tahun seterusnya,
barulah saya berpeluang untuk menghadiri mesyuarat agung dan nampak perjalanan
kesatuan itu.
Saya sempat bekerja swasta selama tiga tahun seterusnya diterima untuk
masuk sektor awam. Untuk penempatan
pertama saya itu, saya telah ditempatkan di salah satu bahagian dalam KPM. Pada ketika itu saya mengjangkakan sektor
awam tidak mempunyai kesatuan kerana ketika mendapat slip gaji yang pertama,
saya melihat terdapat satu potongan iaitu MESCA. Saya mengjangkakan pada awalnya itu adalah
kesatuan tetapi setelah diberitahu oleh rakan-rakan lama, mereka mengatakan itu
bukan kesatuan sebaliknya persatuan.
Lalu saya bertanya samada tidak adakah kesatuan, lalu dijawab mereka bahawa
mereka pun tidak tahu. Disini jelas saya
lihat bahawa maklumat KEPTAN ini tidak sampai kepada mereka. Setelah agak lama berkhidmat, saya cuba
merisik kepada orang lama disitu merangkap Ketua Pembantu Tadbir. Beliau menjelaskan bahawa dahulu memang ada
KEPTAN untuk cawangan KPM namun tidak aktif.
Beliau mengatakan bahawa kesatuan KEPTAN sangat aktif disekolah. Tetapi kini saya melihat KEPTAN cawangan KPM
sudah kembali aktif. Setelah dua tahun
berkhidmat disitu, saya dapat bertukar ke sekolah dalam daerah Temerloh dan
ketika mesyuarat agung saya telah hadir walaupun saya bukan ahli lagi dan
memohon borang untuk menjadi ahli. Dan sehingga
kini saya masih ahli.
Apa yang ingin saya sampaikan daripada penceritaan saya di atas ialah
mungkinkah KEPTAN dapat melaksanakan pendaftaran automatik ini agar suara ahli
dapat ditingkatkan. Sedangkan kesatuan
swasta pun boleh melaksanakan perkara ini begitu juga persatuan yang hanya
diperingkat cawangan KPM seperti MESCA (ibarat kalau disini PSKPP), juga dapat
melaksanakannya, kenapa kita sebuah kesatuan yang merangkumi seluruh cawangan KPM
dan sekolah tidak boleh melaksanakannya.
Saya faham mungkin terdapat beberapa perkara yang merumitkan proses itu,
namun saya harap para Exco dapat menyelesaikan halangan tersebut. Saya percaya seandainya ianya diwartakan
sebagai polisi kesatuan, nescaya mereka yang belum ahli ini tidak ada pilihan
selain menerimanya. Memang akan timbul
pertikaian namun polisi tetap harus dipatuh.
Sekian, terima kasih.