SEJARAH KEPTAN
Sebelum wujudnya 'KEPTAN' (Kesatuan Pembantu
Tadbir dan Pembantu Tadbir Rendah (Pendidikan) Semenanjung Malaysia),
Pembantu Tadbir (Pendidikan) dahulunya digelar Kerani Sekolah kemudian
Pegawai Kerani. Kesatuan Pegawai Kerani Pendidikan telah pun ditubuhkan
pada tahun 60an. Dan banyak perkara yang telah diperolehi oleh Kerani
Sekolah. Di antaranya meletakkan jawatan Kerani Sekolah yang di bawah
lantikan Lembaga Pengurus Sekolah kepada lantikan Suruhanjaya
Perkhidmatan Pendidikan (lantikan tetap), mewujudkan jawatan Kerani
Kanan (sekarang Pembantu Tadbir N7), meminta adakan 'Close Service'
untuk kakitangan sokongan Kementerian Pendidikan agar penghijrahan
Kerani Kanan dari Jabatan Perkhidmatan Awam ke agensi Kementerian
Pendidikan disekat.
Malangnya Kesatuan ini telah dibatalkan dalam
tahun 80an kerana tidak melaksanakan peraturan-peraturan kesatuan
sekerja. Perkara ini tidak dapat dielakkan kerana di masa itu yuran
bulanan ahli tidak dibuat melalui potongan Perkhidmatan Biro Angkasa
tetapi hanya dengan kutipan dibuat oleh Bendahari Agung atau wakil
negeri sahaja. Pada 4 Ogos 1991 beberapa Pembantu Tadbir dari Selangor,
Wilayah Persekutuan, Johor, Perak, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang
telah bermuafakat untuk menubuhkan semula Kesatuan ini yang mana
mesyuarat penubuhan diadakan di Jabatan Pendidikan Selangor, Shah Alam
dan dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan Selangor, Tuan Hj. Jumali bin
Kasan. Ahli Jawatankuasa penaja adalah terdiri dari Pembantu Tadbir
Sukarela, mahu mengorbankan masa, tenaga mahupun wang ringgit.
Pada 15 November 1992 mesyuarat agung penubuhan telah diadakan di
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur yang dirasmikan
oleh Ybhg. Tuan Hj. Shamsudin bin Dahlan, Timbalan Ketua Setiausaha II,
Kementerian Pendidikan Malaysia. Penubuhan semula ini adalah di atas
kesedaran dan keinsafan yang dialami Pembantu Tadbir (Pendidikan) yang
menghadapi beban kerja yang bertambah dari masa ke semasa terutamanya
yang bertugas di sekolah di samping kebajikan Pembantu Tadbir tiada
pembelaan. Setelah Ahli Jawatankuasa Penaja ditubuhkan, sampai masanya
untuk melaksanakan pendaftaran dengan Pengarah Pendafataran Kesatuan
Sekerja. KEPTAN mendapat tentangan dari beberapa pihak terutamanya
Kesatuan AUEGCAS yang mana Presidennya adalah Presiden CUEPACS, Saudara
A.H.Ponniah. Beliau membuat beberapa bantahan agar KEPTAN tidak
ditubuhkan. Nasib KEPTAN sungguh baik kerana kelulusan telah diberi oleh
Pendaftar Kesatuan Sekerja pada 2 Mei 1995 tetapi dengan syarat
'Sekiranya KEPTAN terbatal sekali lagi, pihak Pendaftar Kesatuan Sekerja
tidak akan membenarkan Pembantu Tadbir (Pendidikan) menubuhkan kesatuan
lagi.
Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia pula mengeluarkan
satu surat pekeliling kepada semua Bahagian di Kementerian Pendidikan
Pendidikan Malaysia dan semua Pengarah Pendidikan Negeri - KP
(PP)0089/61/1/Jilid. 2(18) bertarikh 11 Julai 1995. Semua Ahli
Jawatankuasa Penaja mengorak langkah menjelajah Semenanjung Malaysia
dengan perbelanjaan sendiri membantu wakil negeri menubuhkan cawangan
mengikut Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan
Bahagian di Kementerian Pendidikan Malaysia yang difikirkan wajar.
Mesyuarat Agung Tahunan Pertama diadakan pada 27 dan 28 September 1996
bertempat di Kem Kijang, Kota Bharu, Kelantan dan dirasmikan oleh Ybhg.
Tuan Malik bin Hamzah. Setiausaha Bahagian Pembangunan Organisasi dan
Perkhidmatan, Kementerian Pendidikan Malaysia dan pemilihan Ahli
Jawatankuasa EXCO bagi tempoh 1996/1998 telah diadakan.
Kini
KEPTAN dipanggil KESATUAN PEMBANTU TADBIR (PENDIDIKAN) SEMENANJUNG
MALAYSIA mempunyai hampir 13 ribu ahli di seluruh Semenanjung Malaysia
yang terdiri dari 80 cawangan melibatkan naungan di bawah seliaan JPN,
PPD dan KPM.
KEPTAN adalah Kesatuan yang bergabung dalam CUEPACS
dan merupakan Kesatuan yang ke-4 paling ramai ahli dalam CUEPACS (Lebih
120 kesatuan bergabung)-rujuk rekod sehingga 2016. Seramai 50
perwakilan KEPTAN akan menghadiri Konvensyen Tritahunan CUEPACS bagi
memilih Pegawai Tertinggi CUEPACS dan Ahli Majlis Tertinggi CUEPACS
Kebangsaan. Wakil KEPTAN juga pernah dipilih sebagai Naib Presiden Gred
Pentadbiran, Sokongan & Sosial (Gred N & S) dan Penolong
Setiausaha Bahagian Wanita CUEPACS serta Ahli Jawatankuasa CUEPACS
Negeri yang terlibat secara langsung dalam
mesyuarat/perbincangan/bengkel/menggubal kertas cadangan dan
aktiviti/program kebajikan penjawat awam bersama kesatuan-kesatuan
gabungan dalam CUEPACS.
VISI
1. Setiap ahli KEPTAN
mendapat hak dan kebajikan yang sepadan dengan bebanan tugas yang
dipikul supaya dapat menjalankan tugas tersebut dengan amanah, jujur,
ikhlas, berkualiti dan dalam suasana kerja yang harmoni.
2.
Melahirkan kumpulan Pembantu Tadbir di kalangan ahli KEPTAN yang
profesional dan berkebolehan melaksanakan pelbagai tugas dengan ilmu
pengetahuan dan kemahiran yang dipelbagaikan selaras dengan tranformasi
dalam perkhidmatan awam.
3. Mewujudkan persefahaman, kerjasama
dan hubungan yang erat di kalangan ahli KEPTAN dalam melaksanakan
tanggungjawab sebagai penjawat awam dan hidup berkesatuan.
MISI
1. Menguruskan segala usul dan aduan yang dibawa oleh setiap ahli
KEPTAN bagi memastikan hak dan kebajikan setiap ahli KEPTAN terbela.
2. Menggalakkan penganjuran seminar, kursus, latihan dan sebagainya
dalam usaha untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan
profesionalisme di kalangan ahli KEPTAN dalam melaksanakan tugas sebagai
penjawat awam, hidup bermasyarakat dan menguruskan hal ehwal kesatuan
dengan efisien dan efektif.
3. Menggalakkan penganjuran aktiviti
atau program sosial seperti hari keluarga, pertandingan sukan, lawatan,
gotong-royong dan sebagainya supaya dapat saling berkenalan dan
mengeratkan hubungan sesama ahli.
4. Memberi bantuan kewangan
kepada ahli yang menerima rawatan di wad melebihi 7 hari berturut-turut
atau membantu ahli keluarga yang kematian ahli keluarga yang merupakan
ahli KEPTAN melalui Tabung Kebajikan KEPTAN.
No comments:
Post a Comment