Intipati Bajet 2016 untuk penjawat awam:
183. Pucuk dicita ulam pun mendatang,
saat dinanti kini menjelang. Bagi Menghargai
Perkhidmatan Awam, atas segala sumbangan dan khidmat bakti kepada negara,
Kerajaan bersetuju:
Pertama : Memberi faedah
pemindahan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan mengikut gred yang akan
memanfaatkan 1.6 juta warganya dengan peruntukan 1.1 bilion ringgit;
Kedua : Menambah baik sebanyak 252
skim perkhidmatan yang akan memanfaatkan 406 ribu penjawat awam;
Ketiga : Menetapkan gaji
permulaan terendah dalam Perkhidmatan Awam kepada 1,200 ringgit sebulan yang
akan memanfaatkan 60 ribu penjawat awam;
Keempat : Menetapkan kadar pencen
minimum sebanyak 950 ringgit sebulan,yang akan melibatkan hampir 50 ribu pesara
awam dengan sekurang-kurangnya 25 tahun tempoh perkhidmatan; dan
Kelima : Melantik secara tetap
pegawai lantikan Contract of Service yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya
15 tahun. Ini akan memanfaatkan lebih 10 ribu pegawai kontrak.
184. Pelaksanaan kesemua langkah ini
Tuan Yang Dipertua, akan berkuatkuasa pada 1 haribulan Julai 2016 dengan
peruntukan sebanyak 1.4 bilion ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
199. Tidak cukup sekadar itu, bagi
meringankan beban kos sara hidup kepada semua penjawat awam, Kerajaan bersetuju
dengan pemberian khas sebanyak 500 ringgit kepada semua penjawat awam.
200. Manakala, bagi 700 ribu pesara
Kerajaan pula, bayaran khas 250 ringgit disediakan. Kedua-dua bayaran ini, yang
berjumlah hampir 1 bilion ringgit akan dibuat pada bulan Januari 2016.
Keterangan:
Ini adalah antara intipati dalam bajet 2016 yang boleh membuatkan
kakitangan awam tersenyum kerana dengan pemberian-pemberian ini akan dapat
mengurangkan kos sara hidup penjawat awam.
Saya sebagai penjawat awam yang masih berkhidmat amat berterima kasih
kepada kerajaan dengan pemberian tersebut.
Ketika dasar Gaji Minimum diperkenalkan kepada sektor swasta, saya pernah
terfikir kenapa gaji permulaan gred terendah kakitangan awam dalam Jadual Gaji
Minimum Maksimum adalah kurang dari gaji minimum yang diumumkan oleh kerajaan
untuk sektor swasta.
Namun dengan pengumuman dalam Bajet 2016, ternyata kerajaan tidak terlepas
pandang kepada kakitangan awam cuma masa yang diperlukan untuk pelarasan
tersebut. Saya amat bersetuju kadar gaji
terendah yang diberikan itu kerana ianya realistik dengan keadaan sekarang.
Cuma saya masih terkeliru dengan penambahbaikan 252 skim yang diumumkan
itu. Ini kerana penambaikan ini telah
dibentangkan dalam ucapan bajet tahun lalu namun dalam bajet ini masih disebut
perkara yang sama. Nampaknya penambahbaikan
ini masih belum menemui jalan penyelesaian.
Apapun, saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana walaupun tidak
banyak yang diperoleh oleh kakitangan awam namun ianya masih boleh membuatkan
kakitangan awam tersenyum..