Thursday, June 22, 2017
Wednesday, June 21, 2017
CUEPACS MOHON KENAIKAN 3 PERATUS GAJI ASAS PENJAWAT AWAM
Tarikh: 21 Jun 2017
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs)
memohon kerajaan agar mempertimbangkan kenaikan gaji asas penjawat awam
sebanyak tiga peratus dalam Bajet 2018.
Presidennya Datuk Azih Muda berkata jika diluluskan, kenaikan itu
akan membantu meringankan beban 62,000 penjawat awam dalam kategori B40
yang berdepan kos sara hidup yang tinggi.
"Kenaikan kos sara hidup meningkat sebanyak lapan peratus dan keadaan
itu menjadi antara faktor penjawat awam berpendapatan rendah dibelenggu
hutang.
"Sebab itu kita mahu cadangan kenaikan gaji ini diberi perhatian
sewajarnya demi memberi kelegaan kepada penjawat awam terutamanya mereka
yang berada ditahap gaji minima RM1,200 sebulan," katanya pada sidang
media selepas mempengerusikan kongres kesatuan itu semalam.
Cuepacs turut menyarankan agar kerajaan mengkaji semula beberapa
insentif seperti Elaun Perkhidmatan Awam (COLA), Elaun Kenderaan dan
Elaun Wilayah yang tidak dikaji dan diperbaharui kadar bayarannya sejak
sekian lama.
"Ketika ini kadar elaun COLA yang diterima penjawat awam adalah
berbeza-beza dan kita mahu ia dilihat semula dan diselaraskan pada
pengumuman bajet akan datang," kata Aziz.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan kekesalan kerana Cuepacs
tidak dijemput bagi menyertai sesi konsultasi bajet yang diadakan
bersama-sama perdana menteri baru-baru ini, sekali gus ia tidak dapat
menyuarakan pandangan kesatuan itu bagi pihak penjawat awam.
Katanya sebagai satu badan yang mewakili 1.6 juta penjawat awam,
Cuepacs berharap dijemput bagi menyampaikan suara pihak yang
diwakilinya.
- Bernama